Tuesday, October 1, 2013

MERDEKA - PERJUANGAN DAHULU, KINI DAN MENDATANG

Rakyat Malaysia sudah pun menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke 56. Bagi sebahagian besar warga negara Malaysia yang berusia melebihi 40 tahun, kemerdekaan membawa erti yang amat bermakna kerana dapat merasai dan mengalami perubahan serta pembangunan yang dilalui oleh negara ini.

Perjuangan mencapai kemerdekaan bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan pengorbanan yang cukup besar yang tiada nilainya. Ada yang berkorban nyawa, harta benda dan terpisah dari keluarga hanya kerana mahu memerdekakan negara yang tercinta dari cengkaman penjajahan. Rakyat tanpa mengira bangsa dan agama bersatu berjuang menentang penjajah.

Tidak dapat digambarkan kesengsaraan, penderitaan dan kepayahan alam kehidupan ketika itu. Dari apa yang diceritakan oleh generasi bergelar datuk/nenek, ia cukup menggerunkan dan bagi mereka biarlah mereka sahaja yang melaluinya demi kesejahteraan anak cucu di era ini.

Semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara melebihi segala-galanya. Ini membuatkan mereka tidak takut kepada musuh dan langsung tidak gentar untuk menggadaikan nyawa demi negara ini.

Kesemua pengalaman ini tidak wajar menjadi bahan sejarah semata-mata untuk tatapan generasi muda. Ia wajar disemai dan ditanamkan jauh di lubuk sanubari setiap warga negara Malaysia. Cara dan kaedahnya bukan setakat dalam bilik-bilik darjah malahan perlu lebih dari itu. Segenap lapisan masyarakat termasuk pimpinan politik, guru, tokoh agama, media massa, sejarawan, penerbit-penerbit filem dan sebagainya perlu menjiwai semangat kemerdekaan dan memainkan peranan masing-masing agar ia diwarisi generasi muda pada hari ini.

Perjuangan memartabatkan kemerdekaan pada hari ini telah seakan-akan menjadi perjuangan mencapai kemerdekaan di era 40-an dan 50-an. Generasi muda pada hari ini dilihat semakin hari semakin jauh dari semangat kemerdekaan. Rata-rata menganggap hari kemerdekaan ini sebagai hanya cuti umum yang bukan sahaja tidak diketahui malahan tidak dirasai maknanya.

Kejadian memijak dan melumur najis ke atas bendera Malaysia oleh segelintir rakyat Indonesia di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta benar-benar menghiris sanubari semua rakyat. Ini kerana maruah dan kedaulatan negara seakan-akan dicabar. Tambahan pula ia berlaku di bulan kita menyambut kemerdekaan negara tercinta.

Jika diteliti dan ditanya kepada generasi muda, sebilangan besar tidak merasai apa-apa pun bila melihat kejadian tersebut dipapar di kaca-kaca televisyen. Ia dianggap sebagai perbuatan biasa dan bagi mereka bendera tidak melambangkan apa-apa simbol.

Ia amat menyedihkan. Di manakah silapnya kita selama ini sehinggakan melahirkan generasi muda yang langsung tidak mempedulikan semangat kecintaan pada negara?

Ketirisan dalam semangat kecintaan kepada negara (patriotisme) ini bakal mengundang malapetaka yang lebih besar jika tidak dibendung segera. Natijah yang paling besar di mana  generasi muda hari ini akan mudah ditanamkan dengan semangat kebencian terhadap kepimpinan yang ada.

Selain itu, semangat perpaduan yang kita pupuk selama ini antara masyarakat Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa akan mudah bertukar menjadi semangat perkauman yang kuat. Tambahan pula, senario politik semasa jelas memperlihatkan bahawa semangat perkauman bebas dijadikan alat untuk mengapi-apikan rakyat bagi tujuan politik pihak-pihak tertentu. Hak-hak orang Melayu sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia kini sudah mula dipertikaikan. Kontrak sosial yang mendasari semangat perpaduan selama ini mula diketepikan. Telah ada cabar mencabar sama ada dalam Kerajaan mahupun oleh parti-parti perkauman seperti DAP dan PKR terhadap keistimewaan masyarakat bumiputera di negara ini.

Perjuangan dan mainan politik di era ini amat menggerunkan. Ahli-ahli politik sudah tidak pedulikan maruah, martabat dan kedaulatan negara. Sudah tidak pedulikan keharmonian, kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Apa yang dipentingkan adalah “kuasa memerintah”. Mereka sanggup menjual maruah negara dengan mencerca negara di peringkat antarabangsa, mempertikaikan hak masing-masing, mengapi-apikan perkauman, melaga-lagakan rakyat, tuduh menuduh antara satu sama lain demi mencapai hasrat dan cita-cita menjadi pemimpin.

Perjuangan politik hari ini bukan lagi perjuangan memartabatkan bangsa dan negara. Ia lebih kepada perjuangan memartabatkan kuasa dan kekayaan keluarga, kroni dan diri sendiri. Oleh sebab itu juga, ada kalanya amat sukar untuk seseorang pemimpin melepaskan jawatannya dan melakukan apa sahaja untuk terus kekal berkuasa. Kuasa adalah segala-galanya sehingga mereka lupa akan tanggungjawab yang harus dipikul.

Kalau dahulunya, kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu adalah tertinggi dalam Perlembagaan Negara, namun hari ini, institusi raja turut dipermainkan. Ada segelintir masyarakat yang mula berani mempersendakan institusi yang menjadi tunggak kepada agama Islam dan ketuanan Melayu ini.

Sempena dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang 56 ini, saya menyeru kepada segenap lapisan masyarakat Malaysia khususnya orang-orang Melayu akan bersatu dan sedarlah dari mimpi indah mereka selama ini. Tanamkan lah semangat cinta pada negara di kalangan anak-anak muda agar kedaulatan negara ini terus dipertahankan dan bangsa Melayu terus menjadi teraju kemakmuran Malaysia.

No comments:

Post a Comment